Tuesday, March 16, 2010

Dua kali julang trofi Seluruh England sebagai jurulatih


Misbun lakar rekod tersendiri
Oleh Syed Riduan Ahmad, Anwar Hussin, Anand Kumar dan Haspaizi Mohd Zain
bhsukan@bharian.com.my
2010/03/16

JURULATIH badminton negara, Misbun Sidek bangga dengan pencapaian Lee Chong Wei merangkul kejuaraan pertama pada kejuaraan badminton Seluruh England, namun tidak menafikan cabaran diberi Kenichi Tago, kelmarin cukup mendebarkan.

Ini adalah kali kedua saya menjulang trofi Seluruh England sebagai jurulatih,” kata Misbun yang pencapaian terbaiknya selaku pemain di kejohanan ialah naib juara pada 1986 apabila tewas kepada pemain Denmark, Morten Frost pada final. “Chong Wei mempamerkan permainan lebih konsisten dan menggunakan kelebihan pengalaman dan taktikal ke atas Tago,” kata Misbun yang ketenangannya di tepi gelanggang tergugat seketika apabila Tago mengumpul tiga mata berturut-turut sebelum Chong Wei meraih mata kemenangan di set awal.

“Tago begitu mantap ketika berdepan Chong Wei, yang juga menjadi idolanya, kerana sudah mendalami setiap pergerakan pemain nombor satu dunia itu pada perlawanan sebelumnya. Jadi mudah untuk dia membaca ke mana Chong Wei akan menghantar bulu tangkis.”

Bagi Misbun, kejayaan Chong Wei kelmarin berbeza dengan kejuaraan dirangkul Muhammad Hafiz Hashim pada 2003 kerana Seluruh England tahun ini adalah edisi ke-100 kejohanan badminton tertua di England itu.

Gemilang dilakar Chong Wei turut mendapat perhatian Parlimen apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, ketika bertitah turut merakam ucapan tahniah kepada pemain nombor satu dunia itu yang kemenangannya selaras dengan gagasan 1Malaysia diilhamkan Perdana Menteri.
Bagi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kejayaan Chong Wei adalah bukti Malaysia boleh berjaya dengan tekad serta daya usaha tinggi dalam apa jua bidang diceburi. “Saya harap dia akan terus mencatat kejayaan pada masa depan,” kata Muhyiddin.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bangga di atas kejayaan itu berkata pihak kerajaan akan menyambut kepulangan Chong Wei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang jam 3.15 petang ini.

“Majlis sambutan juga akan diadakan ketika sesi rehat sidang Dewan Rakyat, Rabu ini (esok) bagi memberi peluang kepada semua ahli Parlimen mengucapkan tahniah kepada Chong Wei,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen,

No comments:

LinkWithin

 

blogger templates | Make Money Online