Thursday, March 11, 2010

Hafiz Berdepan Lin Dan Hari Ini

Hafiz Berdepan Lin Dan Hari Ini

KUALA LUMPUR: Muhammad Hafiz Hashim mara ke pusingan kedua kejohanan badminton All England yang berlangsung di Arena Tertutup Birmingham, United Kingdom pada Rabu.

Juara All England 2003 itu hanya mengambil masa 18 minit untuk menewaskan Hsieh Yu Hsing dari Taiwan 21-11, 21-5.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz dijangka menghadapi cabaran hebat hari ini apabila berdepan dengan pemain pilihan dan berkedudukan nombor dua dunia Lin Dan dari China.

Lin Dan memburu kejayaan ketujuh berturut-turut ke peringkat akhir kejohanan dan kejuaraan kelima All England.

Sementara itu, beregu campuran Malaysia Koo Kean Keat/ Pei Tty Wong gagal untuk ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada pasangan dari Indonesia Nova Widianto/ Liliyana Natsir 21-17, 13-21, 19-21. -BERNAMA

Kien Keat-Boon Heong gulung tikar

Kien Keat-Boon Heong gulung tikar

AKSI Mew Choo ketika menentang Jiang Yanjiao pada pusingan pertama Kejohanan Seluruh England di Birmingham semalam.

SKUAD badminton negara mencatat permulaan paling mengecewakan pada Kejohanan Seluruh England semalam.

Pemain yang diharap dapat menjulang nama negara pada edisi ke-100 kejohanan berprestij itu tersingkir seawal pusingan pertama.

Paling mengejutkan, juara 2007, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang turun selaku pilihan pertama, turut tersingkir setelah tewas kepada beregu Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen.

Beregu utama negara itu yang juga juara Terbuka Malaysia pada Januari lalu gagal untuk memberi tentangan sengit apabila tewas mudah 13-21, 11-21 dalam permainan yang hanya mengambil masa 27 minit.

Selain Kien Keat-Boon Heong, turut tersingkir pada pusingan pertama semalam termasuk ratu badminton negara, Wong Mew Choo serta beregu, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Kegagalan Mew Choo dan Pei Tty-Eei Hui pada pusingan pertama semalam menamatkan saingan perseorangan dan beregu wanita negara pada Seluruh England tahun ini.

Mew Choo yang tersingkir pada pusingan suku akhir Terbuka Jerman minggu lepas, ternyata gagal untuk menandingi kehebatan pilihan ketiga dari China, Jiang Yanjiao apabila tewas 18-21, 9-21 dalam masa 30 minit sahaja.

Pei Tty-Eei Hui pula gagal untuk mengulangi pencapaian mara ke pusingan separuh akhir pada tahun 2007 apabila tewas kepada beregu Indonesia, Meiliana Jauhari-Greysia Polii.

Meskipun memberi tentangan sengit di set pertama, namun beregu pilihan keempat itu gagal untuk meneruskan rentak sama di set kedua apabila tewas 20-22, 15-21 dalam masa 49 minit.

Begitupun, seperti diramal, jaguh negara, Datuk Chong Wei yang juga pemain No. 1 dunia, mudah melepasi pusingan pertama selepas menewaskan pemain India, Chetan Anand 21-15, 21-16.

Chong Wei yang memburu kejuaraan Seluruh England pertama dalam kariernya, ketinggalan awal pada kedua-dua set sebelum bangkit untuk mengatasi Anand dalam masa 26 minit.

Pada pusingan kedua hari ini, Chong Wei bakal berdepan Sony Dwi Kuncoro yang mara selepas menewaskan pemain China, Du Pengyu 21-19, 21-10.

Untuk rekod, Chong Wei tewas kepada pemain Indonesia itu pada Kejohanan Dunia 2007 dan 2009.

Selain Chong Wei, beregu lelaki negara, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan beregu Hong Kong, Yohan Hadikusumo Wiratama-Wong Wai Hong 21-19 21-19.

Teik Chai-Bin Shen akan bertemu beregu China, Chai Biao-Zhang Nan yang membuat kejutan menyingkirkan beregu pilihan keenam, Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan dari Indonesia 21-18, 21-9

LinkWithin

 

blogger templates | Make Money Online