Tuesday, March 9, 2010

Badminton: Chong Wei tiada rakan sepelatih



ADA 'impian mustahil' bermain-main dalam sanubari Misbun Sidek apabila cuba mencari jalan terbaik untuk memastikan kemenangan anak didiknya, Lee Chong Wei ke atas jaguh China, Lin Dan, mampu berterusan.

Impian itu ialah untuk memiliki pemain dengan corak aksi persis juara Olimpik itu - supaya Chong Wei sentiasa mampu beruntung menerusi pendedahan dan latihan secara kerap.

“Ketika ini, tiada seorangpun pemain negara punya corak persembahan seperti Lin Dan. Ia bermakna Chong wei akan hanya mampu belajar dan mempraktikkan pendekatan baru apabila bertemunya di kejohanan antarabangsa.

“Ia berbeza dengan Lin Dan kerana dia mempunyai beberapa rakan sepelatih berkualiti tinggi seperti Chen Jin, Bao Chunlai dan pemain-pemain muda yang mampu menjelmakan tentangan sehebat Chong Wei.

“Kerana itu, saya sentiasa perlu fikirkan pelbagai simulasi - termasuk menggabungkan beberapa pemain untuk berdepannya - supaya Chong Wei dipersiapkan daripada semua aspek,” kata Misbun.
Lee Chong Wei

Gelisah itu terbit kerana Misbun mengakui betapa jurang di antara kedua-duanya sebenarnya tidak jauh - tetapi Chong Wei ketika ini tertinggal daripada segi percaturan taktikal peringkat tertinggi.

“Ketahanan mental bukan lagi isunya untuk Chong Wei. Kejayaannya untuk sentiasa layak ke final Siri Super Dunia membuktikan Chong Wei mempunyai mental yang mantap.

“Tetapi percaturan taktikal pada tahap tertinggi adalah sesuatu yang kurang. Jadi, Chong Wei tidak boleh perangkap Lin Dan daripada segi itu. Ketika ini, satu-satunya pilihan ialah bersaing daripada segi ketahanan fizikal,” katanya.
Itulah yang juga dilakukan Chong Wei ketika menundukkan Lin Dan untuk menjuarai Terbuka Switzerland selepas menang 21-16, 21-16 buat menebus kehampaan pada final Seluruh England, seminggu sebelumnya.

Lihat Di Sini





LinkWithin

 

blogger templates | Make Money Online