Friday, March 12, 2010

Chong Wei ketepi Kuncoro


Lee Chong Wei


Pemain Korea tunggu di saingan suku akhir hari ini

KELEGAAN jelas terpancar pada raut wajah Lee Chong Wei sebaik mengutip mata akhir yang memberi kemenangan ke atas pemain yang menghadirkan igauan, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia untuk mara ke suku akhir kejohanan badminton Seluruh England di Birmingham, semalam.

Turut serta ke pusingan lapan terakhir ialah bekas pelatih beregu kebangsaan, Gan Teik Chai-Tan Bin Shen yang meneruskan rentak cemerlang dengan menewaskan Chai Biao-Zhang Nan dari China, 21-8, 23-21.

Bagi Chong Wei, kemenangan 21-11, 21-17 dalam tempoh 39 minit itu mendekatkan diri kepada idaman merangkul kejuaraan, dengan pemain muda Korea Selatan, Shon Wan-ho menjadi halangan seterusnya. “Sebelum perlawanan saya sudah bertekad untuk menang,” kata Chong Wei. “Saya sentiasa di depan dan sebaik memenangi set pertama, ia menyuntik semangat saya.
“Saya terperangkap dengan strategi baru Sony pada set tetapi tidak putus asa dan nasib baik menang,” kata Chong Wei.

Kemenangan Wan-ho ke atas pemain muda China, Chen Long 21-18, 18-21, 21-19 tampak mengurangkan tekanan ke atas Chong Wei, namun bagi jurulatih, Misbun Sidek, anak didiknya itu harus berwaspada.

“Chong Wei jelas lega selepas mengalahkan Sony, pemain yang sentiasa menjadi igauan dirinya,” kata Misbun. “Dia kini lebih yakin tetapi tidak harus leka sekali pun lawannya di suku akhir nanti ialah pemain muda Korea Selatan.
“Dia perlu sentiasa mempamerkan tahap permainan tinggi kerana persaingan baru memasuki separuh jalan dan belum mencapai apa yang dihajati.”

Teik Chai-Bin Shen bakal berdepan Lars Paaske-Jonas Rasmussen yang mengejutkan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di pusingan pertama kelmarin.

No comments:

LinkWithin

 

blogger templates | Make Money Online